TAWAU: Tiga individu parah manakala seorang kanak-kanak cedera ringan dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di persimpangan lampu isyarat Jalan Damai, Batu 1, Jalan Apas, di sini, malam tadi.
Kejadian jam 9.30 malam itu membabitkan sebuah kereta dipandu wanita berusia 21 tahun bersama penumpang kanak-kanak perempuan berusia setahun enam bulan yang juga anak saudaranya.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Champin Piuh berkata, kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari arah Batu 8 menuju bandar Tawau sebelum tiba di persimpangan lampu isyarat.
“Ketika itu lampu bertukar oren namun pemandu tetap meneruskan pemanduan dengan laju lalu bertembung motosikal dari arah bandar menuju Kampung Titingan.
“Pertembungan berlaku di tengah persimpangan menyebabkan kereta hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan, merempuh pagar bengkel dan melanggar sebuah Subaru XV yang sedang diparkir,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, impak kemalangan mengakibatkan penunggang motosikal, pembonceng berusia 18 tahun serta pemandu kereta terbabit cedera parah, manakala kanak-kanak hanya mengalami cedera ringan.
“Hasil siasatan juga mendapati penunggang motosikal tidak mempunyai lesen memandu.
“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang
rasa,” katanya.
Terdahulu, rakaman dashcam memaparkan detik pertembungan di persimpangan berkenaan turut tular di media sosial sejak malam tadi, memperlihatkan kedua-dua mangsa melambung akibat rempuhan itu sebelum terhempas di atas jalan raya. – Info X