PENAMPANG: Polis menahan tiga individu yang membawa kenderaan dalam keadaan mabuk dalam satu sekatan jalan raya di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata Operasi Mabuk (Op Mabuk) terbabit dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di Jalan Bundusan, berhampiran sebuah stesen minyak Penampang.
“Sebanyak 30 kenderaan diperiksa semasa operasi dijalankan dan tiga lelaki ditahan selepas melakukan kesalahan memandu dibawah pengaruh alkohol.
“Ketiga-tiga individu ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan dibawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang Op Mabuk itu pihaknya turut mengeluarkan 10 saman disebabkan pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Sekatan jalan raya kali ini diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Penampang Inspektor Jupri Usman dengan dibantu oleh sembilan anggota.
“Operasi yang berakhir pada jam 3 pagi berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Menurutnya, Op Mabuk antara lain bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan. – Info X