Search

Tiga pintu rumah sewa terbakar, 24 penghuni selamat

March 24, 2026

Info X Reporters

PUTATAN: Tiga pintu rumah sewa di Sekambu Petagas, di sini, terbakar dalam kejadian petang tadi, namun semua 24 penghuni terselamat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.25 petang itu, kebakaran membabitkan sebuah rumah sewa satu blok tiga pintu jenis kekal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan 27 anggota dari BBP Putatan dan Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi.

“Jentera pertama tiba di lokasi kira-kira jam 6.31 petang dan mendapati kebakaran sedang marak.

“Kebakaran memusnahkan sepenuhnya dua pintu rumah berkeluasan kira-kira 56 meter persegi setiap satu, manakala satu lagi pintu terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kebakaran itu melibatkan tiga keluarga dengan jumlah keseluruhan 24 penghuni iaitu empat mangsa di rumah pertama, sembilan di rumah kedua dan 11 di rumah ketiga.

Katanya, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang kira-kira 61 meter dengan empat pancutan air, selain mendapatkan sumber air daripada pili bomba berhampiran dan jentera Water Tanker.

“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 6.55 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.30 malam.

“Tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

Operasi pemadaman turut dibantu anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM). – Info X