TONGOD: Tiga buah rumah dan dua motosikal musnah dalam kebakaran di Kampung Imbak, Tongod, di sini, semalam.
Kejadian yang dilaporkan pada jam 11.31 pagi itu membabitkan tiga kediaman masing-masing jenis separuh kekal dan tidak kekal serta dua motosikal yang terbakar 100 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Hairi Otuh berkata, pihaknya menerima panggilan menerusi talian balai sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 166 kilometer.
Katanya, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 1 petang dan mendapati kebakaran sudah berjaya dipadamkan lebih awal oleh penduduk kampung sebelum ketibaan pasukan penyelamat.

“Pasukan bomba kemudian bertindak memadam baki bara api menggunakan satu aliran hos salur bantu mula serta menjalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada lagi bahaya di lokasi.
“Operasi terkawal pada jam 2.20 petang dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.45 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah separuh kekal berukuran 30×40 kaki persegi, rumah tidak kekal berukuran 25×20 kaki persegi dan rumah tidak kekal berukuran 18×25 kaki persegi yang musnah 100 peratus.
“Selain itu, dua motosikal jenis Honda EX5 turut musnah sepenuhnya dalam kejadian berkenaan.
“Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu. Pihak bomba kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca dan jumlah kerugian akibat kebakaran berkenaan,” katanya. – Info X