TAWAU: Tiga rumah musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Titingan, di sini, awal pagi ini.
Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kejadian selepas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima panggilan kecemasan pada jam 5.03 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Timbalan Penguasa Bomba Jemishin Ujin berkata, seramai 18 anggota bersama jentera FRT, CFRT, EMRS dan lori tangki air dikerahkan ke lokasi.
Katanya, pasukan bomba tiba enam minit kemudian dan mendapati kebakaran membabitkan tiga rumah tidak kekal yang terbakar 100 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran hos sepanjang kira-kira 122 meter dengan enam pancutan air daripada jentera FRT dan lori tangki air.
“Seramai 10 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kampung Titingan turut membantu dengan membentangkan satu aliran hos sepanjang kira-kira 61 meter serta satu pancutan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi mengawal dan memadam kebakaran masih giat dijalankan, manakala polis turut berada di lokasi bagi membantu operasi. – Info X