TAWAU: Tiga rumah tidak kekal di Kampung Titingan Laut, Blok 6, di sini, musnah dalam kebakaran petang tadi menyebabkan seorang wanita warga emas mengalami sesak nafas.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang itu, mangsa, Siti Jamilah, 65, diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian balai sebelum sepasukan 21 anggota bersama beberapa jentera digerakkan ke lokasi.

Katanya, jentera pertama tiba di lokasi pada jam 1.40 petang, kira-kira lima kilometer dari balai.
“Setibanya di lokasi, didapati kebakaran membabitkan tiga rumah jenis tidak kekal berkeluasan 200×100 kaki persegi yang terbakar sepenuhnya.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan air daripada jentera Water Tanker serta pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tindakan pantas pasukan bomba berjaya mengelakkan api daripada merebak ke kira-kira 2,000 rumah lain di kawasan berkenaan.

Katanya, operasi dikawal sepenuhnya pada jam 2.06 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang selepas pihak bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi. – Info X