LAHAD DATU: Tiga buah rumah terbakar di Jalan Silam, Kampung Sarip, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, rumah pertama terbakar 100 peratus manakala dua lagi rumah terbakar 30 dan 60 peratus.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 8.05 malam.
“Kebakaran melibatkan tiga rumah dan segera menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan, sumber air terbuka dari laut.
“Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.11 malam dan tiada mangsa dilaporkan terlibat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Mohamud Punya dan turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kerja-kerja pemadaman dan pemeriksaan masih diteruskan, manakala punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. – Info X