Search

Tiga wanita tiba dari Kota Kinabalu ditahan di Jakarta, disyaki seludup dadah

August 5, 2026

Info X Reporters

JAKARTA: Tiga wanita warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup pelbagai jenis dadah sebaik tiba dengan penerbangan dari Kota Kinabalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Isnin lalu.

Menurut laporan mStar yang memetik media Indonesia, CNN Indonesia, penahanan itu dilakukan oleh pegawai Kastam Indonesia di Terminal 2F Ketibaan Antarabangsa selepas ketiga-tiga suspek dikesan menunjukkan tingkah laku mencurigakan ketika melalui pemeriksaan keselamatan.

Pihak Kastam Indonesia dilaporkan berkata, suspek dikenal pasti oleh pegawai Behavior Detection Officer (BDO) sebelum diarahkan ke laluan merah untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan menemukan beberapa bahan disyaki dadah yang disembunyikan di pelbagai lokasi, termasuk dalam beg peralatan mandian di dalam bagasi, dompet, bungkusan ubat, poket jaket serta kasut yang dipakai suspek.

Antara bahan yang dirampas ialah serbuk dan abu disyaki kokain seberat 0.5 gram, 0.3 gram dan 2 gram, selain 4.2 gram pil yang disyaki mengandungi MDMA atau ekstasi.

Turut dirampas ialah 1.8 gram serbuk disyaki ketamin, rokok gulung dipercayai dicampur ketamin seberat 16.9 gram serta satu kartrij yang disyaki mengandungi bahan sama.

Menurut laporan itu, semua bahan yang dirampas telah menjalani ujian awal bagi mengenal pasti kandungannya.

Kastam Indonesia kini bekerjasama dengan Unit Siasatan Narkotik Polis Lapangan Terbang Soekarno-Hatta bagi menjalankan siasatan lanjut sebelum tindakan undang-undang diambil terhadap ketiga-tiga suspek.

Kes berkenaan dilaporkan berlaku ketika pihak berkuasa Indonesia memperhebatkan usaha membanteras penyeludupan dadah melibatkan warga asing melalui pintu masuk utama negara itu.

Terdahulu, seorang juruterbang syarikat penerbangan dari Malaysia ditahan selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram pil ekstasi melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 29 Julai lalu.

Dalam satu lagi kes berasingan pada Isnin lalu, seorang lelaki warga Malaysia berusia 22 tahun turut ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Surabaya, selepas disyaki cuba menyeludup hampir satu kilogram syabu dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dipakainya.- Info X