KOTA KINABALU: Tindakan membakar poster karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Perhimpunan Gempur Rasuah Sabah 2.0 di Lintasan Deasoka, di sini, disifatkan sebagai melampau dan biadap.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, berkata himpunan anjuran Suara Mahasiswa UMS yang didakwanya turut dibantu ahli Parti Warisan pada 21 dan 22 Jun tidak sepatutnya melanggar norma undang-undang dan adab orang Sabah.
“Rakyat Sabah sangat dikenali sebagai orang yang amat berbudi bahasa dan mempunyai sifat lemah lembut. Justeru, budaya membakar foto PMX amat mengejutkan semua lapisan masyarakat negeri Sabah.
“Oleh sebab itu G57 meminta agar rakyat Sabah bersatu hati menolak budaya ganas yang cuba diperkenalkan di Sabah. Rakyat Sabah bijak menolak parti mana yang menjadi dalang kepada perhimpunan ini,” katanya.
Beliau mendakwa, Parti Warisan juga harus bertanggungjawab atas insiden itu kerana majoriti yang menghadiri perhimpunan itu didakwanya terdiri daripada pemimpin, ahli dan penyokong parti berkenaan.
“Perhimpunan aman gempur rasuah itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas, memberi gambaran buruk kepada imej Sabah di mata pelancong asing,” katanya. – Info X