Search

Tindakan tegas terhadap mana-mana pihak sebarkan ajaran sesat – Arifin

June 1, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memandang serius sebarang usaha untuk menyebarkan mana-mana ajaran yang difatwakan salah, sesat dan menyeleweng daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diwartakan di Sabah pada 2019.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Mohd Arifin Arif, berkata berikutan itu, satu tindakan diambil selepas menerima aduan awam berhubung satu kumpulan ajaran sesat yang mengadakan program di sebuah dewan sekolah, di sini, semalam.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata susulan aduan itu, Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah (BPUUS) JHEAINS menjalankan operasi terhadap program kumpulan itu membabitkan seramai 52 anggota penfuatkuasa JHEAINS.

“Program Jalsa Salana Wilayah Sabah Kali Ke-32 itu dikendalikan kumpulan Jamaat Ahmadiyah Muslim Malaysia (JAMM) yang juga berkait dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani.

“Seramai 52 anggota Pegawai Penguat Kuasa Agama (PPA) JHEAINS diarahkan untuk melaksanakan operasi itu dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan seramai 25 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bagi mengawal keselamatan.

“Hasil operasi yang dijalankan mendapati program itu sudah berlangsung selama tiga hari bermula 29 hingga 31 Mei 2026 dan dianggarkan dihadiri hampir 300 orang peserta dari seluruh Sabah,” katanya.

Beliau yang juga EXCO Agama negeri berkata, pelbagai bahan penerbitan, dokumen dan bahan promosi yang berkaitan dengan ajaran Ahmadiyah Qadiani dipamerkan dalam dewan sepanjang program berlangsung.

“Semua bahan berkaitan diambil tindakan mengikut peruntukan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Sabah 1995 dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Ajaran Ahmadiyah Qadiani difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng oleh Majlis Fatwa Negeri Sabah pada 2006 serta diwartakan pada 2007.

“Justeru, umat Islam di negeri ini hendaklah berwaspada dan menjauhi sebarang bentuk penyebaran fahaman yang boleh menjejaskan kesucian akidah Islam,” katanya.

Arifin turut merakamkan penghargaan kepada PDRM Sabah, khususnya PDRM Kota Kinabalu atas kerjasama dalam memastikan kawalan keselamatan ketika operasi dijalankan dan bersama-sama membantu membanteras penyebaran ajaran yang bercanggah dengan akidah Islam di Sabah.

“Kerajaan negeri melalui JHEAINS terus komited memperkukuh usaha pemantauan, penguatkuasaan dan pendidikan bagi memastikan kesucian akidah umat Islam sentiasa terpelihara serta menjamin keharmonian masyarakat,” katanya. – Info X