Search

Tip of Borneo dibuka semula

May 21, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Tanjung Simpang Mengayau yang terkenal sebagai lokasi paling hujung Pulau Borneo atau Tip of Borneo dibuka semula secara rasmi untuk kunjungan umum pada Isnin.

Pembukaan itu yang dirasmikan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew dibuat setelah kerja pemulihan kawasan itu siap sepenuhnya.

Beliau berkata, projek menaik taraf lokasi tumpuan pelancongan itu dilaksanakan kementeriannya dengan antara kemudahan disediakan termasuk Pusat Maklumat Pelawat.

“Pada 2018, tapak seluas 11 hektar ini diwartakan sebagai kawasan untuk kegunaan awam dan diletakkan di bawah penjagaan kementerian saya.

“Sejak itu, kita komited untuk melindungi, menambah baik dan mempromosi mercu tanda luar biasa ini untuk manfaat pelawat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Christina bersama pegawainya meninjau Tip of Borneo yang kini dibuka semua semula untuk kunjungan umum.

Katanya, tapak itu ditutup sementara sejak Januari 2022 bagi pelaksanaan kerja naik taraf asas bagi menambah baik pengalaman pelawat sambil menjaga keaslian alam lokasi berkenaan.

Projek naik taraf itu, katanya dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan kerja siap sepenuhnya pada 30 September 2024.

Beliau berkata, Pusat Maklumat Pelawat menempatkan kemudahan seperti kedai cenderamata yang dikendalikan oleh Kadaiku, menawarkan produk dan kraftangan tempatan, selain kafe yang akan dibuka tidak lama lagi.

“Kementerian berhasrat untuk menyerahkan pengurusan kawasan ini kepada Sri Pelancongan Sabah (SPS) bagi memastikan operasi pelancongan yang lebih sistematik dan lestari.

Antara kemudahan baharu disediakan di Tip of Borneo.

“Sebagai tambahan, kita juga dalam perancangan untuk memperkenalkan aktiviti yang disasar untuk menjadikan Tip of Borneo sebagai destinasi yang lebih bertenaga,” katanya.

Christina berkata, penambahbaikan itu adah sebahagian usaha berterusan kementeriannya melalui Lembaga Pelancongan Sabah (STB) bagi mempromosi pelancongan di kawasan ini dan memperkasa ekonomi tempatan. – Info X