KOTA MARUDU: Seorang lelaki tempatan dipenjara enam tahun enam bulan selepas mengaku bersalah menipu tawaran projek tidak wujud dan memalsukan dokumen membabitkan kerugian RM57,000.
Ia berkaitan tawaran projek pengorekan dan pembersihan Sungai Kampung Damai, di sini yang didakwa dilakukan pada 2023.
Berikutan itu, tertuduh, Mohd Azuan Galpun, 31, yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 468 dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan, masing-masing dihukum penjara setahun dan lima tahun oleh Mahkamah Majistret Kota Marudu, di sini, pada Selasa.
Selain penjara, tertuduh turut diperintah oleh mahkamah membayar ganti rugi RM57,000 kepada mangsa dan jika gagal, hukuman penjara ditambah enam bulan lagi.
Mahkamah menetapkan hukuman dijalankan secara berasingan bermula pada tarikh sabitan pada 26 Mei 2026 bagi kesalahan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan sebelum disambung hukuman penjara bagi kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Secara keseluruhan, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun enam bulan, selepas gagal membayar RM57,000 ganti rugi kepada mangsa.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa menipu mangsa dengan menawarkan projek pengorekan dan pembersihan Sungai Kampung Damai, di sini ketika mangsa berurusan dengan tertuduh di Kampung Sumbilingon pada kira-kira jam 4 petang, 6 September 2023.
Tertuduh mendakwa projek berkenaan dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kota Marudu sebelum mengemukakan beberapa dokumen bagi meyakinkan mangsa.
Kemudian, tertuduh meminta beberapa pembayaran dibuat ke akaun Bank Islam dan Bank Rakyat atas nama sebuah syarikat.
Akibatnya, mangsa membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM57,000 sebelum menyedari dokumen yang diberikan adalah palsu dan projek berkenaan dipercayai tidak wujud.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan polis sebelum siasatan lanjut dijalankan dan tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut hingga akhirnya dihadapkan ke mahkamah.
Kes berkenaan disiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu yang dikendalikan pegawai penyiasat, Inspektor Rainol Masaat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin, menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terperinci terhadap sebarang tawaran projek atau urusan melibatkan pembayaran wang, terutama yang menggunakan dokumen rasmi jabatan kerajaan.
Katanya, perkara itu penting bagi mengelak daripada menjadi mangsa penipuan. – Info X