Search

TM tidak lagi guna kabel tembaga, elak kecurian

December 6, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebagai langkah mengatasi kes kecurian kabel telekomunikasi, Telekom Malaysia (TM) tidak lagi menggunakan kabel tembaga dalam pemasangan kabel syarikat terbabit menjelang 2025.

Pengurus Besar TM Sabah, Datuk Sainal Mohd Amin berkata, TM akan menggunapakai kabel fiber optik selaras saranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan.

“TM kini dalam proses menamatkan pengunaan kabel tembaga dalam memastikan tidak lagi berlaku kes kecurian kabel telekomunikasi jenis tembaga yang mempunyai nilai tinggi dan lebih berpotensi untuk dicuri.

“Pengunaan kabel fiber optik ini juga selaras usaha TM melaksanakan perkhidmatan ke arah teknologi yang lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media pada Majlis Hari Apresiasi TM Sabah 2023 di sini.

Katanya majlis terbabit diadakan bagi menghargai kerjasama pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Media Sabah dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta pihak keselamatan TM berkaitan dalam membanteras kes kecurian kabel TM.

Bercakap lanjut, beliau berkata kes kecurian kabel TM dilihat semakin berleluasa sejak 2023 dan beberapa tindakan susulan sudah dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini.

“Sejak Januari sehingga November tahun ini, sebanyak 16 kes berjaya direkodkan dan kesemua suspek terlibat berjaya ditahan pihak polis.

“Dalam mengatasi kes kecurian ini juga, kita sudah menjalankan usaha mengenal pasti kawasan panas dan memberi fokus dengan melaksanakan kawalan dan pemerhatian di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya antara kawasan terbabit termasuklah Likas dan Inanam bagi Kota Kinabalu, Tanjung Batu serta Batu 4 di Tawau dan Jalan Sim-Sim bagi Sandakan. – Info X