Search

Tokan dadah ditahan bersama 74.33 gram syabu

March 15, 2024

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Seorang lelaki ditahan bersama dadah jenis syabu dalam serbuan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kandawayon, di sini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan Pasukan Polis Task Force (Risikan) Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kinarut dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu, turut berjaya merampas syabu seberat 74.33 gram bernilai RM14,432.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superitendan Zairolnizal Ishak berkata, ketika serbuan dijalankan polis menahan suspek lelaki berusia lingkungan 30 tahun.

Katanya, hasil pemeriksaan menemukan satu bungkusan berwarna hitam yang berada di atas sofa ruang tamu rumah berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap bungkusan berkenaan mendapati mengandungi 239 paket plastik lutsinar sederhana besar berisi ketulan hablur jernih disyaki dadah jenis Methamphetamine.

“Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku ada menghisap syabu dan mendedahkan memperoleh bekalan syabu dari seorang lelaki di Kota Kinabalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, rampasan bekalan dadah yang dianggarkan seberat 74.33 gram dengan anggaran harga pasaran RM14,432 dipercayai adalah untuk dijual di sekitar Kota Marudu.

“Suspek kini direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Sekiranya disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman gantung mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru orang ramai untuk menjadi mata dan telinga pihak polis dalam menyalurkan maklumat berkaitan salah laku jenayah atau dadah dikawasan masing-masing.

“Salurkan maklumat sebarang kegiatan atau kejadian jenayah ke bilik Gerakan Polis IPD Kota Marudu ditalian 019-218 3708,” katanya. – Info X