KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil hari ini meluangkan masa menyantuni bekas Ketua Bahagian Editorial New Straits Times (NST) Sabah dan Sarawak yang bertarung dengan kanser tulang di kediamannya di Kampung Kionsom, Inanam, dekat sini.
Joseph Bingkasan, 68, yang disahkan menghidap penyakit itu sejak 2014 turut berdepan dengan masalah kegagalan buah pinggang dan darah tinggi.
Beliau yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia kewartawanan, menyertai Kinabalu Sabah Times sebagai penyunting pada 1977 sebelum menyertai New Straits Times Press (NSTP) sebagai koresponden di Sabah. Beliau kemudian dipindahkan ke Times of Malaysia London Ltd (Pejabat NST di London).
Sekembalinya dari London, Joseph dilantik sebagai Ketua Bahagian Editorial NST Sabah dan Sarawak yang berpusat di Kuching, Sarawak sebelum dipindahkan ke Ibu Pejabat NST di Kuala Lumpur pada 2004.
Beliau juga pernah bertugas di Daily Express.
Dalam kunjungan itu, Fahmi turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada Joseph bagi membantu meringankan beban beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas lawatan itu, Fahmi berkata Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023, bertujuan menyantuni pengamal media, bekas petugas media dan wartawan veteran yang memerlukan bantuan.
“Ia merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital dan dilaksanakan menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) sejak 14 April 2023 sebagai usaha berterusan membantu komuniti media yang berdepan dengan kesukaran dan cabaran hidup,” katanya.
Katanya setakat ini, seramai 24 pengamal media telah mendapat manfaat daripada Tabung Kasih@HAWANA.
“Saya juga akan berbincang dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam Datuk Peter Galim dan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mustapha Sakmud untuk terus membantu Joseph.
“Program ini akan terus dilaksana kepada golongan wartawan yang memerlukan…Perdana Menteri telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan program ini,” katanya.
YB Fahmi kini dalam rangka lawatan kerja ke Sabah bermula Jumaat hingga Isnin.
Sementara itu, Joseph berterima kasih kerana dipilih untuk menerima bantuan daripada program berkenaan.
“Saya terharu kerana menteri sendiri datang berjumpa saya di sini walaupun keadaan jalan yang tidak baik.
“Saya juga berharap kehadiran menteri dan ADUN Inanam dapat mempercepatkan untuk menaik taraf jalan masuk ke sini…jalan yang teruk memberikan kesukaran kepada kami. Minggu lepas bapa saya sakit dan ambulan tidak dapat masuk kerana jalan yang tidak baik,” katanya. – Info X