KOTA KINABALU: Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Beluran sedang mengesan keluarga atau waris kepada seorang kanak-kanak lelaki kini berusia 12 tahun yang ditinggalkan ibu kandungnya kepada pasangan suami isteri di Pekan Kecil Paitan, pada 2017.
Jurucakap Pejabat Perkhidmatan Kebajikan Am Daerah Beluran berkata, pihaknya dimaklumkan seorang wanita meminta untuk menjaga anak lelakinya yang pada ketika itu berusia lima tahun kepada pasangan terbabit sementara ibu kandung kanak-kanak itu hendak membeli barang keperluan.
Katanya, selepas menunggu selama tiga jam, wanita itu tidak kembali untuk mengambil anaknya dan mereka tidak menemukan wanita terbabit di kawasan pekan berkenaan.

“Suami isteri kemudian sepakat untuk membawanya pulang ke rumah dan memandangkan mereka tidak tahu nama kanak-kanak itu, pasangan memberi nama sebagai Bilal Abdullah.
“Laporan polis dibuat oleh pasangan terbabit pada 2022 dan sehingga ke hari ini, pasangan itu sudah menjaga kanak-kanak terbabit lebih enam tahun, namun tiada ahli keluarga mahupun ibu bapa kanak-kanak datang untuk menuntut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pasangan menemui Pelindung Kanak-Kanak bagi memohon bantuan untuk urusan hak penjagaan dan memudahkan segala urusan berkaitan.
Katanya, usaha itu adalah untuk menguruskan dokumen bagi urusan hak penjagaan kanak-kanak terbabit.
“Dokumen itu diperlukan bagi memudahkan segala urusan persekolahan, kebajikan dan perubatan kanak-kanak terbabit.
“Ahli keluarga atau orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan waris kanak-kanak ini diminta tampil membantu siasatan bagi memudahkan segala urusan berkaitan,” katanya.
Tambahnya, kes ini sedang diambil tindakan mengikut Seksyen 17(1)(d) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pindaan 2016).
“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui Pelindung Kanak-Kanak Daerah Beluran Mohd Hafiz Ahmad melalui talian telefon 016-5528340 dan talian pejabat 089-518301,” katanya. – Info X