SEPULUT: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berjaya menemukan seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam di Sungai Penawan, Kampung Sinsingon, di sini, hari ini.
Mayat Lasimin Mantun, 38 tahun ditemui pasukan bomba dan penduduk kampung, jam 9.30 pagi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, operasi SAR hari keempat bersama agensi dan penduduk kampung dimulakan pada 8 pagi.
Katanya, operasi pencarian bermula daripada Jeti Salung ke Kampung Pagalungan.
“Seorang mangsa lelaki dewasa ditemui kira-kira 10 kilometer dari mangsa dilaporkan jatuh oleh pasukan penyelamat dan orang kampung.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR diteruskan bagi mencari seorang lagi mangsa iaitu Carbrineleyvonne Joffrinos, 7 tahun.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
Dalam kejadian Selasa lalu, bot dinaiki suami isteri bersama tiga anak mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Sinsington karam dengan seorang daripadanya maut dan dua lagi hilang.
Seorang lelaki berusia 38 tahun turut dikhuatiri selepas terjatuh ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang hilang itu, kelmarin. – Info X