KOTA KINABALU: Suami isteri yang berperanan sebagai transporter ditahan bersama 12.5 kilogram syabu yang dianggarkan bernilai RM402,720, dalam satu operasi, pada 22 Mac lalu.
Pasangan berusia 31 dan 38 tahun itu ditahan kira-kira jam 1.20 petang di Pejabat Pos Tawau oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, semasa pemantauan dilakukan, pasukan operasi mengesan suspek datang ke pejabat pos berkenaan menaiki sebuah kenderaan jenis Bezza.
Katanya, suspek lelaki terbabit kemudiannya masuk ke dalam pejabat sebelum keluar dengan membawa dua kotak dalam keadaan mencurigakan.
“Pasukan serbuan terus bertindak menahan suspek lelaki dan wanita perempuan yang berada di tempat duduk pemandu kereta.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui lima kotak besar pelbagai saiz dan lapan bungkusan plastik mengandungi serbuk dipercayai dadah dengan anggaran berat 12.585 gram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, hari ini.

Jauteh berkata, semua dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui perkhidmatan udara dan akan diserahkan kepada pihak tertentu.
Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati, kedua-dua suspek negatif dan hanya suspek lelaki mempunyai sebarang rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 15 Akta Dadah Berbahaya 2024.
“Polis percaya kedua-dua suspek hanya bertindak sebagai transporter namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jauteh berkata, berdasarkan kes terbaru ini, jelas menunjukkan dadah masih boleh dihantar menggunakan perkhidmatan udara.
Sehubungan itu katanya, pihak polis akan mengukuhkan kerjasama khususnya dengan syarikat perkhidmatan kurier dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di negeri ini bagi menangani kegiatan pengedaran dadah.
“Diharap, usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah ini diteruskan dengan lebih banyak kejayaan-kejayaan di masa akan datang,” katanya. – Info X