KUDAT: Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menggagalkan cubaan tujuh vesel nelayan asing (VNA) warga Filipina menceroboh perairan negara di sekitar Pulau Balambangan, hari ini.
Pengarah APMM Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, pencerobohan itu dikesan menerusi Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum dua bot ronda digerakkan ke lokasi berhampiran Tanjung Kalutan.
“Hasil operasi, semua tujuh vesel berjaya ditahan dan pemeriksaan mendapati 21 individu termasuk tekong, berusia antara 17 hingga 60 tahun, berada di atas vesel terbabit.

“Semua vesel bersama kru kemudian diiring ke Pusat Tahanan Vesel, Sabah Port Kudat bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM100,000.
“Kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan Malaysia tanpa kebenaran, selain Akta Imigresen 1959/63 selepas kesemua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata APMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk pencerobohan perairan negara dan akan terus mempertingkatkan rondaan serta penguatkuasaan, khususnya di kawasan perairan berisiko tinggi.
“Orang ramai diminta menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan negara ke Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X