Search

Tukang masak upahan edar ganja diberkas JSJN Sabah

October 17, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kegiatan seorang tukang masak yang berperanan sebagai ‘runner’ kepada pengedar dadah terbongkar selepas dicekup polis bersama bungkusan berisi ganja di terminal kereta sewa di Jalan Padang, Bandaran Berjaya, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, suspek lelaki berusia 26 tahun ditahan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah ketika berada di kawasan terminal berkenaan bersama satu bungkusan mencurigakan.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, hasil pemerhatian selama kira-kira 15 minit mendapati suspek dalam keadaan gelisah sebelum ditahan untuk pemeriksaan lanjut.

“Pemeriksaan terhadap bungkusan parcel yang dibawanya menemui sembilan paket plastik lutsinar masing-masing berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 1,067 gram dengan anggaran nilai RM3,500.

“Pemeriksaan lanjut ke atas tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang terlarang lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis dadah tetrahydrocannabinol (THC), manakala semakan lanjut mendapati dia mempunyai dua rekod lampau berkaitan kes dadah.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku mengambil upah daripada seorang individu untuk mengambil bungkusan itu sebelum dihantar ke rumahnya di kawasan Kepayan.

“Susulan maklumat itu, polis menjalankan serbuan susulan di sebuah rumah dua tingkat di Taman Kepayan, pada jam 4.20 petang hari sama.

“Serbuan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang disyaki individu yang mengupah suspek pertama,” katanya.

Polis turut menahan suspek kedua bersama ganja di Kepayan, Kota Kinabalu.

Beliau berkata, pemeriksaan di bilik tidur suspek kedua menemukan satu paket plastik kecil berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki ganja seberat 3.52 gram bernilai RM50.

“Ujian saringan awal air kencing turut mendapati suspek positif THC namun tidak mempunyai rekod lampau.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B, Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Selain dadah, katanya polis turut merampas dua telefon bimbit masing-masing jenis iPhone 13 dan iPhone 13 Pro Max bagi membantu siasatan.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama erat antara JSJN Sabah dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah, menerusi jalinan perkongsian maklumat yang membawa kepada rampasan dan tangkapan berkenaan.

“JSJN IPK Sabah akan terus memperhebatkan usaha membanteras pengedaran dadah di negeri ini termasuk menumpaskan sindiket kecil yang menggunakan modus operandi penghantaran parcel ke negeri ini,” katanya. – Info X