KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Warisan mendesak kerajaan negeri supaya menukar program membasmi kemiskinan yang tidak mencapai sasaran selepas 10 tahun dilaksanakan, khususnya di Kudat dan Kota Marudu.
Ketua Wira Warisan, Terence Au, berkata program baharu perlu dirangka dan dilaksanakan bagi memastikan kedua-dua daerah itu yang sehingga sekarang masih dikategorikan termiskin dapat dikeluarkan dari istilah berkenaan.
Katanya, secara logik, jika program yang sudah berjalan selama hampir 10 tahun berkesan, maka Kudat dan Kota Marudu tidak akan dikategorikan sebagai antara daerah termiskin di Malaysia.
“Penghijrahan berterusan anak-anak muda Kudat dan Kota Marudu ke daerah lain yang lebih maju seperti Kota Kinabalu ataupun ke negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor memberikan satu gambaran bahawa tidak ada pelan atau halatuju disediakan oleh Kerajaan Negeri untuk merancakkan aktiviti ekonomi di kedua-dua daerah ini.
“Sebagai kawasan yang berpotensi dimajukan sebagai pusat pertanian nilai tinggi, Kerajaan Negeri juga perlu melabur lebih banyak dalam penyediaan infrastruktur, prasarana dan utiliti di Kudat dan Kota Marudu untuk menarik hati syarikat-syarikat pemprosesan sama ada dari dalam mahupun luar negeri untuk datang membuka kilang pemprosesan mereka di sana.
“Kami dari Wira Warisan menyokong dan memberikan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Presiden Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Darell Leiking untuk membangun dan merancakkan aktiviti ekonomi di Kudat dan Kota Marudu sama ada melalui penggubalan polisi kerajaan, hala tuju ekonomi serta program bersepadu yang mampu menarik hati golongan muda menyertainya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pihaknya juga yakin dengan kemampuan pegawai bukan politik yang mempunyai pengalaman luas di peringkat Persekutuan yang kini membantu Presiden dan Timbalan Presiden merangka pelan ekonomi untuk Kudat dan Kota Marudu.
Terence berkata, beliau bersetuju dengan pandangan ADUN Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Persidangan DUN minggu lalu yang mengatakan pengiraan kemiskinan tidak sepatutnya bergantung kepada angka semata-mata tetapi juga mengambil kira realiti sebenar kesusahan rakyat.
“Saya bersetuju dengan pandangan beliau kerana angka dan statistik mengenai kategori miskin tegar boleh dimanipulasi dengan pemberian wang tunai secara berkala dari Kerajaan.
“Bantuan wang tunai berkala sama ada dari Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan kepada rakyat Sabah yang dihimpit kemiskinan sememangnya amat dialu-alukan kerana ini dapat meringankan beban kewangan yang mereka hadapi terutama sekali ketika kelesuan ekonomi serta bencana alam yang tidak putus-putus melanda negeri ini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya adalah lebih penting untuk Kerajaan Negeri merangka polisi dan hala tuju ekonomi yang efektif untuk membuka peluang pekerjaan dan perniagaan seluas yang mungkin kepada rakyat Sabah khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar.
Jelasnya, pembukaan peluang pekerjaan dan perniagaan secara meluas secara automatik akan mengurangkan insiden kemiskinan di Sabah dan beban kewangan ke atas bantuan wang tunai berkala yang dipikul oleh Kerajaan Negeri.
“Kerajaan Negeri juga tidak boleh terus menggunakan model lama untuk membanteras kemiskinan yang tidak lagi mampu menyaingi kos sara hidup dan inflasi yang telah meningkat berkali ganda dalam masa 20 tahun ini,” katanya. – Info X