Search

Tular heret kabel, dua suspek akhirnya diberkas

August 1, 2026

Info X Reporters

PAPAR: Selepas hampir dua minggu diburu, dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian tular mengheret kabel menggunakan sebuah Perodua Bezza akhirnya diberkas polis dalam serbuan di sebuah pondok kebun di Kampung Surapit, di sini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 4 petang itu, polis bukan sahaja menahan kedua-dua suspek, malah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel telekomunikasi dan utiliti.

Ketua Polis Daerah Papar, Superintendan Heryan Mohd Tahir berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 41 tahun itu diberkas hasil risikan serta siasatan susulan laporan polis yang diterima pada 18 Julai lalu.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Superintendan Heryan Mohd Tahir.

“Siasatan bermula selepas seorang pengadu membuat laporan apabila melihat sebuah Perodua Bezza mengheret seutas kabel berwarna hitam di kawasan Simpang Tiga Jalan Takis Hospital, Papar sebelum mengesyaki kabel itu dicuri.

“Bertindak atas maklumat yang dikumpulkan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Papar menyerbu sebuah pondok kebun di Kampung Surapit dan berjaya menahan kedua-dua suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai barang dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan termasuk dua pemotong besi, playar, tukul besi, beberapa bilah senjata tajam, empat batang kulit kabel bertulis Telekom Malaysia Berhad serta guni berisi serpihan kabel aluminium yang sudah dibakar.

“Hasil soal siasat awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan dengan suspek berusia 24 tahun dipercayai berperanan sebagai pemandu manakala seorang lagi bertindak memotong dan mengendalikan kabel yang dicuri.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine dan kes turut dirujuk kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Papar untuk tindakan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Heryan berkata, mangsa membabitkan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan Sabah Electricity Sdn Bhd, manakala kegiatan itu bukan sahaja menyebabkan kerugian harta benda tetapi turut menjejaskan penyampaian perkhidmatan penting kepada masyarakat.

Katanya, kedua-dua suspek kini direman bagi membantu siasatan, manakala polis masih melengkapkan siasatan termasuk merakam percakapan saksi, menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta analisis terhadap barang kes.

Terdahulu, pada 18 Julai lalu, tular video sebuah kereta Perodua Bezza berwarna putih dalam keadaan mencurigakan sedang mengheret seutas kabel sepanjang kira-kira enam meter.

Dua orang saksi cuba memberhentikan kenderaan berkenaan namun suspek bertindak memecut dan melarikan diri melalui beberapa jalan utama sebelum menghala ke kawasan Benoni,” katanya. – Info X