Search

Tular lari daripada JPJ, notis tetap menyusul

September 20, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemandu yang bertindak melarikan diri ketika operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak akan terlepas daripada tindakan, terutama apabila kejadian berkenaan dirakam dan tular di media sosial.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, pihaknya boleh mengeluarkan notis mengikut Seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi menyiasat pemilik kenderaan yang dikenal pasti melanggar peraturan.

“Walaupun ada kejadian tular membabitkan kenderaan yang melarikan diri daripada JPJ, kita tetap akan mengeluarkan notis.

“Kita akan mengambil tindakan terhadap pemandu dan pemilik kenderaan sekiranya mereka gagal hadir untuk membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Sabah, pada Sabtu.

Mohd Harris berkata, maklumat dan aduan orang ramai turut membantu pelaksanaan Operasi Khas (Ops Ekstrem) yang dijalankan sejak 6 September lalu.

Menurutnya, operasi itu memberi tumpuan terhadap kenderaan yang diubah suai secara ekstrem, tidak mematuhi spesifikasi dan menimbulkan gangguan bunyi kepada masyarakat.

“Sebanyak 24 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan, manakala 81 notis dikeluarkan dan 13 kenderaan termasuk sebuah motosikal disita.

“JPJ mengeluarkan 34 notis JPJ(P)22, 19 notis arah periksa mengikut Seksyen 61(1), 15 notis PG1 bagi larangan penggunaan kenderaan dan 13 notis penyitaan mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan ialah pengubahsuaian bentuk dan peralatan kenderaan secara ekstrem, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi serta sistem ekzos yang menghasilkan bunyi bising.

“Kesalahan lain termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans dan penggunaan cermin gelap yang tidak mematuhi peraturan.

“Bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu, JPJ Sabah memeriksa 377,942 kenderaan dengan 52,458 daripadanya dikenakan tindakan,” katanya.

Dalam tempoh sama, beliau berkata sebanyak 107,038 notis saman JPJ(P)22 dan ALPKP dikeluarkan, selain 26,693 notis lain, 2,024 notis lebih muatan serta 379 kenderaan disita.

“Tiga kesalahan tertinggi ialah LKM tamat tempoh sebanyak 19,564 kes, tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh (17,389) dan tiada perlindungan insurans (13,191),” katanya.

Sementara itu, Mohd Harris mengingatkan semua pemilik dan pengguna supaya memastikan kenderaan mematuhi spesifikasi serta peraturan ditetapkan demi keselamatan pengguna jalan raya. – Info X