Search

Tumpu pengeluaran padi, ternakan tingkatkan keterjaminan makanan di Sabah – Jamawi

January 26, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengeluaran padi dan beras, selain ternakan dan sayuran diberi tumpuan dalam usaha meningkatkan penghasilan bahan makanan tempatan di negeri ini.

Perkara itu ditekankan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) ke arah memperkukuh keterjaminan makanan dan tahap sara diri di Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar, berkata peningkatan pengeluaran tempatan perlu bagi mengurangkan kebergantungan import bahan makanan secara berperingkat.

Katanya, ia adalah langkah strategik yang akan dilaksanakan bermula pada tahun ini menerusi beberapa pendekatan yang dikenal pasti mampu meningkatkan hasil pertanian di negeri ini.

“Kementerian akan memberikan tumpuan kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan seperti lembu dan ayam, selain sayur-sayuran serta perikanan bagi menjamin kestabilan harga, kesinambungan bekalan dan kebajikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Pembantu Menteri Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Ruslan Muharam dan Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengurus Besar LIGS selaku pengerusi penganjur Majlis Amanat, Sabdil Tanjong.

Jamawi turut menegaskan keperluan meningkatkan produktiviti serta memodenkan sektor pertanian dan perikanan dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah tradisional.

Katanya, Kerajaan Negeri meletakkan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan sebagai tonggak strategik pembangunan negeri, bukan saja bagi menjamin keselamatan makanan, malah memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.

“Segala perancangan dan pelaksanaan kementerian mesti selari dengan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dan diperkukuh melalui kerjasama erat di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Jelasnya, peralihan kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi, amalan pertanian berketepatan tinggi serta pemanfaatan data, teknologi dan inovasi perlu dipercepatkan melalui kerjasama strategik dengan universiti serta institusi penyelidikan.

Mengulas penglibatan belia, beliau berkata, masa depan sektor pertanian dan perikanan Sabah amat bergantung kepada golongan muda dan sektor itu perlu diposisikan sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah serta menguntungkan.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan agropreneur belia, memperkasa perniagaan dan koperasi baharu serta menambah baik akses kepada tanah, pembiayaan dan sokongan teknikal,” katanya.

Dalam masa sama, katanya pemerkasaan petani, nelayan dan komuniti luar bandar kekal sebagai fokus utama bagi meningkatkan pendapatan golongan sasar serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Jamawi turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, sistem penyampaian yang cekap serta tahap integriti yang tinggi dengan toleransi sifar terhadap ketirisan dan ketidakcekapan.

Beliau berharap semua pegawai kementerian, jabatan dan agensi di peringkat negeri serta persekutuan bersikap proaktif, turun ke lapangan dan bertanggungjawab menyelesaikan isu rakyat secara tuntas.

Bagi memastikan semua inisiatif mencapai sasaran, Jamawi berkata, penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas akan dilaksanakan di peringkat jabatan, agensi dan ketua program, disertai pemantauan serta pelaporan berkala.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi berkata, MAFFI akan melancarkan Inisiatif Kebun Dapur secara berstruktur di seluruh Sabah bagi menggalakkan isi rumah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengusahakan tanaman, ternakan kecil serta perikanan skala kecil.

Inisiatif itu, katanya, mampu menjadi pemangkin kepada keterjaminan makanan, pengurangan kos sara hidup serta pembudayaan sikap berdikari dalam kalangan masyarakat akar umbi.

Beliau berkata, Inisiatif Jelajah Kebun Dapur pertama akan dilancarkan di daerah Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri bulan depan, selain dilaksanakan menggunakan pendekatan mentor-mentee bagi menarik minat generasi muda. – Info X