KOTA KINABALU: Pemimpin Umno, Datuk Seri Salleh Said Keruak membayangkan, pelantikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi bagi negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang digelar SG4 hanyalah langkah pertama daripada banyak lagi langkah besar yang akan datang.
Katanya, beliau percaya tindakan Mahathir, baru-baru ini, untuk menjadi penasihat SG4 seakan menjadikan dirinya sebagai ketua de facto PN dan mungkin ke menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang.
“Adakah pelantikan penasihat SG4 satu langkah ke arah menjadi Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang?
“Saya percaya bahawa tindakan Tun Mahathir baru-baru ini untuk menjadi penasihat SG4 yang seakan menjadikan dirinya sebagai ketua de facto Perikatan Nasional hanyalah langkah pertama daripada banyak lagi langkah besar yang akan datang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Salleh yang juga bekas ketua menteri Sabah berkata, walaupun langkah menjadikan Mahathir sebagai ketua de facto PN itu penting, namun langkah seumpama itu hanya bermakna sekiranya pemimpin berusia 98 tahun itu boleh masuk ke Parlimen dan seterusnya menjadi Ketua Pembangkang.
Katanya, Mahathir juga sepatutnya menggunakan pelantikan sebagai penasihat ekonomi kepada SG4 untuk meyakinkan semua ahli PAS mengenai keikhlasannya.
“Tun Mahathir merupakan seorang tokoh politik yang sangat bijak, beliau lebih bijak daripada kebanyakan kita. Beliau mahu memiliki pengaruh yang lebih berkesan ke atas domain politik supaya dia boleh melemahkan pengaruh dan penguasaan Perdana Menteri.
“Beliau merupakan pakar dalam percaturan seperti ini. Dalam hal ini, saya akan memberi tabik hormat kepadanya.
“Saya percaya inilah yang difikirkan oleh Tun Mahathir dan tindakan seumpama itu akhirnya boleh membawa kepada krisis politik yang mungkin lebih besar daripada krisis politik 2015 yang menimpa Najib.
“PAS tidak akan menyokongnya melainkan mereka benar-benar percaya dengan kebolehan Tun Mahathir membuat percaturan politik. PAS pastinya percaya Tun Mahathir boleh berjaya di mana Tan Sri Muhyiddin telah gagal iaitu kembali semula ke Putrajaya,” katanya.
Beliau turut berpendapat, dalam arena politik, cita-cita tiada had dan umur pula bukan menjadi penghalang.
“Oleh itu jangan memandang rendah kehendak orang tua. Apabila berhadapan dengan musuh, bukan sahaja tindakannya tetapi niatnya yang perlu diperhatikan, kerana jika seseorang tidak bertindak dahulu, dia akan menderita terlebih dahulu.
“Tun Mahathir boleh menjadi Perdana Menteri sekali lagi jika semua musuhnya menganggap ini mustahil dan tidak berjaga-jaga,” katanya. – Info X