Search

Tun Musa terima kunjungan hormat Chong Kah Kiat

October 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman menerima kunjungan hormat bekas Ketua Menteri, Tan Sri Chong Kah Kiat di Istana Seri Kinabalu, di sini, baru-baru ini.

Tun Musa berkata, beliau berbesar hati menerima kunjungan bekas rakan setugasnya itu dan sempat bertukar pendapat berkaitan perkara yang berlaku di negara ini, khususnya Sabah.

“Saya berbesar hati menerima kunjungan hormat daripada bekas Ketua Menteri dan bekas rakan setugas saya, Tan Sri Chong Kah Kiat di Istana Seri Kinabalu, baru-baru ini.

“Kami melihat kembali tahun-tahun yang berlalu, berkhidmat bersama dalam kerajaan, termasuk ketika pentadbirannya, sebelum saya menggantikannya sebagai Ketua Menteri pada 2003.

“Walaupun kami pernah mempunyai perbezaan pendapat, ia sesuatu yang baik dapat bertemu semula dengan wajah yang kita kenali dan mengimbau kembali perjalanan yang kami tempuhi bersama dalam politik dan perkhidmatan awam,” katanya, di sini, pada Khamis.

Tun Musa berkata, pada pertemuan itu mereka juga bertukar pendapat perkara berkaitan negara, khususnya Sabah.

“Masa begitu cepat berlalu, tapi saya percaya sentiasa ada nilai dalam mengekalkan saluran komunikasi serta hubungan baik seiring dengan langkah kita ke hadapan,” katanya.

Kah Kiat yang juga bekas ADUN Tanjung Kapor memegang jawatan Ketua Menteri dari 2001 hingga 2003 menerusi sistem penggiliran Ketua Menteri sebelum digantikan Tun Musa yang mengambil alih jawatan itu dari 2003 hingga 2018. – Info X