Search

Tuntutan 40 peratus dibincang pada mesyuarat MA63 Jumaat ini – KM

September 8, 2026

Info X Reporters

KUNAK: Kerajaan negeri akan terus memperjuangkan tuntutan dan isu yang belum diselesaikan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk tuntutan bayaran 40 peratus hasil bersih yang menjadi hak Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat berkaitan MA63 yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu pada Jumaat ini.

“Dalam mesyuarat itu kita akan bincangkan perkara-perkara yang menjadi tuntutan ataupun isu-isu yang masih perlu diselesaikan dalam Perjanjian MA63 kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, Kerajaan Sabah berterima kasih kepada Perdana Menteri sekarang kerana sepanjang pentadbiran beliau, sembilan perkara di bawah MA63 telah diselesaikan dan kuasa berkaitan turut diturunkan kepada Sabah.

“Dulu ada empat perkara, jadi kesemuanya 13 (perkara) telah diselesaikan. Bagaimanapun, masih ada perkara-perkara lain, termasuk pembayaran 40 peratus,” katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju dengan tuntutan bayaran 40 peratus berkenaan, namun masih terdapat beberapa isu teknikal yang perlu diselesaikan.

“Mereka telah setuju tetapi ada lagi masalah mungkin teknikal yang dibawa. Ini proses biasa sebab ada proses rayuan, tetapi ia tidak mengganggu keputusan untuk kita mendapatkan bayaran 40 peratus itu,” katanya.

Hajiji berkata, perkara-perkara yang belum selesai akan dibawa semula untuk pertimbangan dalam mesyuarat atau rundingan MA63 seterusnya.

Dalam perkembangan berkaitan pembangunan ekonomi negeri, Hajiji menyambut baik kemajuan projek Kilang Pengekstrakan Phytonutrient Kunak Lipids Sdn Bhd yang hampir siap dan dijangka mula mengeluarkan vitamin E sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata, kilang berkenaan adalah perkembangan positif sebagai aktiviti serta perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu, dengan bahan-bahan berasaskan sawit digunakan dalam pengeluarannya.

“Saya amat berbesar hati mendengar taklimat tadi daripada Sawit Kinabalu dan syarikat bersama Sawit Kinabalu kerana kilang yang dibina untuk mengeluarkan vitamin E ini telah hampir selesai dan akan mengeluarkan vitamin E sebelum hujung tahun.

“Ini satu perkembangan yang cukup baik sebagai aktiviti dan juga perniagaan sampingan Kumpulan Sawit Kinabalu. Semua ini dibuat daripada bahan-bahan sawit dan sebagainya,” katanya.

Hajiji berkata, projek itu dipercayai yang pertama seumpamanya di Malaysia dan diharap dapat membantu meningkatkan hasil Sawit Kinabalu serta syarikat kerjasamanya.

“Saya rasa ini yang pertama di Malaysia, jadi ini satu perkembangan yang bagus. Mudah-mudahan ia akan dapat menambah hasil Sawit dan juga syarikat kerjasama,” katanya.

Terdahulu, ketibaan Hajiji dan rombongan di kilang itu disambut Pengerusi Sawit Kinabalu, Datuk Hazem Mubarak Musa dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Victor Ationg.

Kunak Lipids Sdn Bhd adalah anak syarikat Kumpulan Sawit Kinabalu yang mengendalikan Kilang Pengekstrakan Phytonutrient di Kunak. – Info X