Search

Tuntutan 40 peratus mesti ditunaikan, tidak boleh disamakan dengan peruntukan lain – UPKO

October 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan isu 40 peratus bukan soal budi bicara atau ihsan daripada kerajaan Persekutuan.

Timbalan Presidennya, Datuk Donald Mojuntin, berkata 40 peratus hasil yang dituntut itu adalah hak perlembagaan Sabah yang termaktub sejak penubuhan Malaysia.

Beliau mengakui kerajaan Persekutuan memberi pelbagai peruntukan kepada Sabah, namun peruntukan lain termasuk bayaran interim tidak boleh disamakan dengan 40 peratus yang dituntut negeri ini.

“Kami menghargai kenyataan khas YAB Perdana Menteri dan segala bentuk peruntukan yang telah disalurkan kepada Sabah sama ada melalui peruntukan belanjawan, geran khas mahupun pinjaman pembangunan.

“Segala bantuan ini sememangnya membantu pembangunan negeri dan rakyat Sabah dan kami ucapkan terima kasih atas komitmen tersebut.

“Namun, kami ingin menegaskan dengan jelas bahawa semua bentuk peruntukan ini termasuk bayaran interim, tidak boleh dan tidak wajar disamakan dengan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan daripada Sabah yang dijamin dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Isu 40 peratus ini bukan soal budi bicara atau ihsan. la adalah hak perlembagaan Sabah yang termaktub sejak penubuhan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan sebagai mengulas penerangan khas Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Donald berkata apa yang Sabah mahukan daripada Kerajaan Persekutuan bukan sekadar bayaran sementara atau janji bersyarat tetapi pengiktirafan rasmi terhadap hak Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Tegasnya, selagi hak itu belum diiktiraf dan dilaksanakan sepenuhnya, perjuangan bagi menuntut perkara itu tidak akan selesai.

“Ini bukan perjuangan parti atau individu, ini perjuangan rakyat Sabah untuk mendapatkan kembali apa yang telah lama menjadi hak kita.

“Kita menuntut pelaksanaan sebenar, bukan sekadar rundingan berpanjangan. Kami menyeru Kerajaan Persekutuan untuk menunjukkan keikhlasan politik dengan mengiktiraf secara rasmi dan melaksanakan hak 40 peratus Sabah sebagaimana termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.

“Hanya dengan tindakan sebegitu, barulah semangat Malaysia yang sebenar dapat ditegakkan berdasarkan keadilan,” katanya. – Info X