Search

Tuntutan RM29,440 bawa dua pegawai RELA ke mahkamah

September 24, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana berjumlah RM29,440 membawa dua pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, hari ini.

Mohamad Ihsan Said, 42, dan Radzmil Saadan, 38, masing-masing berdepan tiga pertuduhan membabitkan pengemukaan dokumen mengandungi butiran matan palsu dan bersubahat melakukan kesalahan berkenaan.

Kedua-duanya bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Andi Razalijaya A. Dadi.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Ihsan didakwa dengan disedarinya memberikan kepada seorang ejen dokumen tuntutan elaun penugasan rondaan keselamatan dan pemantauan bencana ketika Monsun Timur Laut yang mengandungi butiran palsu.

Tiga tuntutan berkenaan masing-masing berjumlah RM9,600, RM9,920 dan RM9,920 yang dibuat di Pejabat RELA Daerah Lahad Datu antara Disember 2022 hingga Februari 2023.

Sementara itu, Radzmil didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat bersama Mohamad Ihsan melakukan kesalahan berkenaan dengan menyemak borang tuntutan elaun terbabit.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai butiran matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin tempatan yang beralamat tetap di Tawau, selain deposit RM3,000.

Kedua-duanya turut diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di balai polis setiap bulan dan tidak menghubungi saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 Oktober 2026.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Norsham Saharom, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab @ Lahab. – Info X