Search

Tuntutan Sulu: Kemenangan negara hadiah istimewa sempena Hari Sabah dan Hari Malaysia – PBRS

September 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menyifatkan kemenangan Malaysia di Mahkamah Agung Belanda ke atas rayuan kumpulan Sulu berkaitan tuntutan terhadap Sabah sebagai hadiah istimewa sempena sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia.

Presidennya, Datuk Arthur Kurup, berkata ia adalah berita baik untuk rakyat negeri ini dan membuktikan bahawa Sabah adalah negeri berdaulat dalam Malaysia.

Jelasnya, keputusan itu sekali gus menamatkan tuntutan dari kumpulan Sulu yang tidak pernah diiktiraf oleh Sabah sejak dari awal lagi.

“PBRS menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan atas komitmen dan usaha Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang begitu serius memastikan segala tuntutan oleh pihak luar ke atas Sabah dapat dinoktahkan segera.

“Kejayaan ini adalah hadiah istimewa buat rakyat Sabah sempena Sambutan Hari Sabah dan Hari Malaysia 2024,” katanya dalam satu kenyataan.

Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, PBRS akan terus menyokong segala usaha kerajaan untuk memastikan keselamatan dan kepentingan rakyat Sabah dan Malaysia dilindungi setiap masa.

“Terima kasih kerana sentiasa mempertahankan kedaulatan Sabah dalam Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan bahawa kerajaan memperoleh kemenangan akhir pada minggu lalu apabila Mahkamah Agung Belanda menolak rayuan difailkan pihak Sulu terhadap Malaysia.
Katanya, keputusan Mahkamah Agung Belanda itu sekali gus menamatkan cubaan pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan tuntutan tidak sah mereka terhadap Malaysia di Belanda. – Info X