PENAMPANG: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan TV Sabah menjadi platform digital penting dalam mempromosikan budaya, warisan dan ekosistem semula jadi negeri ini, selain memperkukuh industri kreatif tempatan.
Ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri
Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan pada Majlis Pelancaran TV Sabah dan Berita TV di Dewan Hongkod Koisaan KDCA, di sini, semalam.
Menurut Hajiji, sejak beroperasi pada 2018, TV Sabah yang dimiliki sepenuhnya oleh anak tempatan telah menyiarkan lebih 70 acara langsung dan menghasilkan lebih 30 segmen program.
Katanya, capaian penonton bulanan kini melebihi 20 juta menerusi media sosial, aplikasi mudah alih dan penstriman over the-top (OTT).
“Dengan pelancaran Berita TV yang akan menumpukan 70 peratus kepada liputan berita politik, ekonomi, hiburan, sukan dan sosial, saluran ini diyakini menjadi wadah utama rakyat mendapatkan maklumat terkini tentang Sabah,” katanya.
Beliau menyeru penggiat media, artis, pempengaruh serta penggiat seni kreatif menjadikan TV Sabah sebagai ruang berkarya dan menarik pelaburan syarikat tempatan dan luar negara.
Dalam majlis itu, turut berlangsung pemeteraian lima memorandum persefahaman (MoU) antara TV Sabah dengan Persatuan Filem dan Visual Sabah, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Breeze Magazine, Music Right Sabah serta Millenium Virtual Production.
Hajiji berkata, kerjasama strategik itu diyakini mampu membuka peluang pekerjaan baharu kepada anak muda Sabah dalam bidang penyiaran, penerbitan dan media kreatif.
“Lebih membanggakan, TV Sabah beroperasi tanpa dana kerajaan. Ini membuktikan keupayaan anak Sabah mengangkat nama negeri melalui inovasi dan kreativiti. Gunakanlah ruang ini untuk menyebarkan naratif Sabah sebagaimana kita mahu dunia melihatnya,” katanya.
Majlis pelancaran bersejarah itu disempurnakan secara rasmi oleh Jeffrey bagi pihak Ketua Menteri. – Info X