KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyedari keperluan untuk melaksanakan usaha baharu ke arah meremajakan parti bagi mengubah persepsi yang melihat PBS sebagai ‘parti orang tua’.
Bagi mencapai usaha itu, Ketua Penerangannya, Datuk Joniston Bangkuai mencadangkan konsep PBS 2.0 sebagai visi jelas untuk masa depan parti berusia 39 tahun itu.
Menerusi inisiatif baharu itu, katanya PBS harus dipandang sebagai parti yang mempelopori usaha menuntut hak negeri seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan perlembagaan.
“Mungkin sudah tiba masanya kita mempertimbangkan PBS 2.0 sebagai daya usaha untuk benar-benar meremajakan parti supaya kekal relevan dan memastikan kita tidak ketinggalan tetapi sebaliknya memimpin dalam amalan politik yang inovatif.
“Kita harus memanfaatkan sejarah dan legasi PBS sebagai asas kukuh untuk memaju dan mengembangkan lagi matlamat serta halatuju parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berkongsi pandangan mengenai ‘The Way Forward For PBS’ pada Seminar Platform Politik Anak Muda PBS, di sini, hari ini.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu turut mencadangkan agar sayap Pemuda PBS menerajui usaha merangka strategi yang praktikal dan boleh dilaksanakan dengan objektif serta sasaran yang boleh dicapai dalam proses meremajakan parti.
“Sebagai pemimpin masa depan PBS, ahli sayap pemuda parti wajar berada di barisan hadapan dalam usaha mengukuhkan lagi parti dan menarik lebih ramai ahli, terutama dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berpendapat konsep PBS 2.0 harus mewakili komitmen ahli terhadap pemodenan, keterangkuman dan inovasi, sejajar dengan keperluan dan kepimpinan semasa.
Tambah beliau, inisiatif itu harus merangkumi strategi digital yang komprehensif, pemodenan strategi kempen, pemerkasaan belia dan wanita, dan yang paling penting, penglibatan generasi pengundi baharu.
“Saya melihat PBS 2.0 sebagai ‘call to action’ untuk semua ahli. Ia bukan sekadar pelan tetapi penggerak ke arah yang lebih cerah untuk parti kita dan bagi saya, inilah ‘the way forward’ (pendekatan terbaik) untuk masa depan PBS,” katanya.
Justeru itu, beliau menekankan pentingnya penyertaan aktif semua ahli untuk merealisasikan konsep itu di mana belia dan wanita boleh membantu merangka pelan pemodenan yang berkesan untuk parti.
Seminar ini dihadiri ahli exco parti yang diketuai Ketua Pergerakan Pemuda Pusat, Christopher Mandut dan ketua-ketua pemuda bahagian. – Info X