Search

Ubah suai ekzos, tiada cermin sisi kesalahan paling banyak motosikal

October 1, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Ekzos diubah suai dan motosikal tanpa cermin sisi antara kesalahan paling banyak dikesan dalam operasi bersepadu membanteras lumba haram di Kilometer 45, Jalan Tawau – Semporna, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil operasi itu polis mengeluarkan 20 saman trafik terhadap penunggang motosikal yang diperiksa.

“Selain itu, kesalahan lain turut dikesan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada lesen memandu dan aksesori tidak sempurna.

“Sebanyak 19 motosikal diperiksa membabitkan 19 penunggang lelaki, namun tiada sebarang tangkapan atau sitaan dibuat sepanjang operasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Polis trafik melakukan pemeriksaan motosikal dalam operasi bersepadu membanteras lumba haram di Kilometer 45, Jalan Tawau – Semporna.

Menurutnya, operasi dijalankan dari jam 5.01 petang hingga 9 malam dengan kekuatan 19 anggota, terdiri daripada 17 anggota Balai Polis Bandar Sri Indah dan dua anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

Katanya, pemeriksaan turut dilakukan menerusi semakan sistem MCOP/MCAD dan operasi berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.

“Operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mengekang kegiatan lumba haram di daerah ini.

“Polis menasihatkan orang ramai, khususnya golongan muda, supaya tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah mengancam keselamatan orang lain.

“PDRM akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya. – Info X