Search

Ulang tahun ke-50 Tragedi Double Six

June 6, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tragedi Double Six yang menyaksikan sebahagian anggota Kabinet Sabah, termasuk Ketua Menteri, Allahyarham Tun Fuad Stephens terkorban dalam nahas pesawat di pantai Sembulan, di sini, pada 6 Jun 1976, sudah berlalu selama setengah abad.

Hari ini, 6 Jun 2026 adalah ulang tahun ke-50 tragedi sedih itu dan ia masih diingati sebagai peristiwa penting dalam sejarah Sabah kerana membabitkan ramai pemimpin negeri terkorban dalam satu nahas pesawat.

Ia sebagai tanda penghormatan kepada pemimpin negeri yang terkorban dalam tragedi itu, selain penghargaan terhadap pengorbanan mereka sepanjang berkhidmat untuk rakyat negeri ini.

Pada tahun ini, upacara memperingati tragedi itu sekali lagi diadakan di Tugu Peringatan Double Six di Sembulan atas inisiatif Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan dihadiri waris dan kenalan mangsa serta wakil kerajaan negeri, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Upacara itu bagi mengenang jasa mereka yang terkorban dalam tragedi berkenaan:

  1. Tun Fuad Stephens – Ketua Menteri
  2. Datuk Peter Mojuntin – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan
  3. Datuk Chong Thien Vun – Menteri Perhubungan dan Kerja Raya
  4. Datuk Salleh Sulong – Menteri Kewangan
  5. Datuk Darius Binion – Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri
  6. Datuk Wahid Peter Andu – Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri
  7. Datuk Dr Syed Hussein Wafa – Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri
  8. Ishak Atan – Setiausaha Sulit kepada Menteri Kewangan Malaysia
  9. Koperal Mohd Said – Pengawal Peribadi Ketua Menteri
  10. Johari Stephens
  11. Kapten Gandhi Nathan – Juruterbang

Mandela dalam kata-katanya sempena upacara itu berkata, generasi hari ini mungkin tidak mengenali mereka secara peribadi, tetapi hasil daripada visi, keberanian dan pengorbanan mereka dapat dirasai hingga sekarang.

“Sebagai anak-anak Sabah, menjadi tanggungjawab kita untuk meneruskan usaha yang pernah mereka mulakan dan memastikan negeri yang mereka cintai terus maju, bersatu dan makmur untuk generasi akan datang.

“Sempena ulang tahun ke-50 ini, marilah kita bukan saja mengenang cara mereka pergi, tetapi lebih penting, mengingati apa yang mereka perjuangkan semasa hayat mereka,” katanya. – Info X