KOTA KINABALU: Umat Islam di Malaysia mula berpuasa sempena Ramadan tahun ini pada Ahad, 2 Mac.
Tarikh itu diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, malam ini.
Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan menurut perintah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Pengumuman itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Pada 20 Februari lalu, Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja menerusi satu kenyataan menetapkan hari ini bersamaan 29 Syaaban 1446 Hijrah untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di Malaysia. – Info X