Search

UMNO Sabah sedang dinilai, ke mana hala tuju menjelang PRU16 – Suhaimi Nasir

February 23, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: UMNO Sabah yang menyambut ulang tahun ke-35 pada bulan ini sedang melalui fasa penilaian semula rakyat.

Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, berkata ia bukan sekadar ulang tahun organisasi tetapi titik penting menentukan hala tuju menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, PRU16 akan menjadi medan ujian terhadap keupayaan parti politik menawarkan kestabilan yang konsisten, pelan ekonomi yang jelas dan kepimpinan yang mampu membuat keputusan sukar dalam keadaan mencabar.

“Pengundi hari ini lebih kritikal, lebih bermaklumat dan menilai berdasarkan prestasi.

“Keutamaan UMNO Sabah adalah memperkukuh kedudukan Sabah dalam agenda nasional, memastikan pembangunan infrastruktur dipercepatkan, pelaburan berkualiti ditarik masuk, peluang pekerjaan diperluas dan suara negeri ini lebih berpengaruh dalam proses pembuatan dasar Persekutuan.

“Parti perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan strategi yang tersusun, mesej yang konsisten dan tumpuan penuh kepada keperluan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, UMNO Sabah komited untuk memasuki fasa itu dengan persediaan rapi, pendekatan yang berfokus dan tekad untuk mengembalikan keyakinan rakyat melalui tindakan yang boleh diukur dan dilaksanakan. – Info X