Search

UMS-UTM kerjasama tangani masalah bekalan air di UMSKAL

June 5, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan bekerjasama bagi memastikan masalah bekalan air di UMS dapat diatasi.

Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor berkata, sebagai langkah awal, UMS dan UTM telah melakukan perbincangan berkaitan isu berkenaan dan kerjasama itu akan dimulakan di UMS Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Sehubungan itu, katanya, lawatan tapak dalam masa terdekat di UMSKAL akan diadakan bagi mengenal pasti secara signifikan isu berkaitan bekalan air terbabit.

“UMS dan UTM menyambut baik seruan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk memastikan bekalan air yang berterusan di UMS.

“Sehubungan itu, dua institut pendidikan ini akan bekerjasama untuk menyelesaikan isu ini dan akan dimulakan di UMSKAL,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kasim berkata, beliau difahamkan yang UTM juga bersedia menawarkan khidmat kepakaran teknologi membran dan proses desalinasi bagi mengatasi isu bekalan air yang dihadapi UMSKAL.

Katanya, ia sepertimana yang digunakan untuk manfaat 53 sekolah pedalaman di seluruh negara dan penyahgaraman air laut di Kampung Pantai Senok, Bachok Kelantan sejak 2017.

“Sistem di kampung itu mampu mengeluarkan 500,000 liter sehari air bersih terus daripada air laut.

“Usaha menyuling air laut kepada air tawar tersebut dijangka dapat menampung keperluan air kepada lebih kurang 3,000 orang pelajar di UMSKAL,” katanya. – Info X