Search

Usahawan bawang merah Sabah terima geran RM215,000 daripada MARDI

October 5, 2025

Info X Reporters

RANAU: Empat usahawan tani bawang merah menerima Geran Usahawan Perintis berjumlah RM215,000 bagi pengeluran benih bawang merah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Sabah.

Penerima geran ialah Shahrizal Denci dari Kundasang (RM180,000), Hezzro Abie dari Tambunan (RM25,000), Mohd Roslie Ahmaddani dari Kota Marudu (RM5,000) dan Justin Sansalu dari Paitan (RM5,000).

Geran berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup ketika lawatan ke Plot Pengeluaran Benih Bawang Merah Usahawan Tani di bawah bimbingan MARDI di Kampung Tanah Merah, Mesilou, Kundasang di sini.

Beliau berkata, penyampaian geran itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan MADANI bagi memperkukuh jaringan usahawan tani bawang merah tempatan serta meningkatkan kapasiti pengeluaran benih tanaman itu di Sabah.

Arthur bersama penerima geran untuk pengeluaran benih bawang merah MARDI.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui MARDI juga menyediakan sokongan teknikal termasuk aspek agronomi, kawalan penyakit, pengurusan ladang dan penggunaan benih berkualiti bagi memastikan projek ini berdaya maju.

“Lawatan ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuhkan ekosistem bawang merah tempatan dan menjadikan Kundasang sebagai hab pengeluaran utama negara menjelang 2030,” katanya.

Hadir sama pada lawatan itu ialah Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohd Zabawi Abdul Ghani.

Arthur berkata, Sabah adalah antara negeri berpotensi tinggi untuk penanaman bawang merah kerana faktor agroiklim tanah tinggi di Kundasang, Tambunan, Ranau dan beberapa kawasan lain yang mempunyai suhu sederhana serta tanah yang subur.

“Pada masa ini, sebahagian besar keperluan bawang merah negara masih diimport, namun usaha berterusan sedang dijalankan bagi meningkatkan pengeluaran tempatan.

“Sehingga 2025, keluasan penanaman bawang merah di Sabah dianggarkan sekitar tujuh ekar yang melibatkan lebih 15 orang usahawan tani, termasuk projek rintis di bawah bimbingan MARDI.

“Dengan sokongan kerajaan, keluasan ini dijangka berkembang kepada lebih 100 hektar menjelang 2030, sekali gus berpotensi mengurangkan import bawang merah sehingga 30 peratus,” katanya.

Plot pengeluaran benih bawang merah usahawan MARDI di Kundasang.

Sementara itu, bagi usahawan bawang, Shahrizal Denci, 43, beliau kini dalam usaha memperluaskan kawasan penanaman kepada 40 ekar bermula Oktober 2025, dengan sasaran pengeluaran sehingga 200 metrik tan.

“Sehingga kini, saya telah mengusahakan penanaman seluas lima ekar dengan hasil 20 metrik tan bagi dua musim penanaman.

“Hasil penyelidikan varieti bawang oleh MARDI telah membuktikan bahawa bawang merah tempatan mampu mencapai hasil antara empat hingga enam metrik tan sehektar, bergantung kepada amalan agronomi dan pengurusan ladang yang baik.

“Saya yakin, potensi ini mampu melonjakkan Sabah sebagai negeri peneraju pengeluaran bawang merah negara,” katanya. – Info X