Search

USIA LAKSANA PENDEKATAN MENYELURUH, JAGA HUBUNGAN KEKELUARGAAN MASYARAKAT BERBILANG BANGSA

June 27, 2022

admin

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad berpendapat khidmat sesebuah badan bukan kerajaan (NGO) Islam dilihat perlu dilaksanakan secara menyeluruh sebagai usaha menjaga hubungan kekeluargaan dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa dan agama khususnya di Sabah.

“Melihat ke arah itu, aktiviti dakwah Islam di negeri ini wajar berjalan seiring khidmat masyarakat untuk memastikan mesej Islam membawa kepada kesejahteraan serta memberikan kehidupan lebih baik kepada rakyat.

“Saya melihat di Sabah ini sedikit istimewa kerana tiada kerenggangan sesama kita malahan kekeluargaan itu lebih memberikan satu keyakinan walaupun berlainan budaya dan agama.

“Tugas NGO Islam ini lebih kepada menyampaikan mesej bahawa Islam itu adalah kesejahteraan. Kita tidak melihat daripada sudut agama dan sebagainya tetapi siapa sahaja yang hidup dalam bermasyarakat ini perlu ada kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, di sini, hari ini berkaitan kepimpinan baharu USIA yang dipilih dalam Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan Usia ke-35 semalam.

Menerusi pemilihan terbabit, menyaksikan beliau dipilih sebagai Yang Dipertua USIA baharu manakala Abdul Hakim Gulam Hassan dipilih Timbalan Yang Dipertua USIA.

Mengulas lanjut, Sapawi menyatakan USIA lebih terbuka dalam memberi khidmat kepada masyarakat di Sabah walaupun berlainan latar belakang termasuklah menzahirkan idea-idea baharu agar kekal relevan.

“Kita akan bekerjasama dengan baitulmal, JAKIM dan beberapa agensi kerajaan yang lain seperti melakukan program bantuan masyarakat.

“USIA tidak hanya memberi bantuan hanya kerana dia keluarga muslim. Individu itu muslim tetapi mungkin bapa atau abang dia masih memegang agama sama.

“Islam menekankan walaupun seseorang itu sudah memeluk Islam tetapi hubungan kekeluargaan tidak boleh dipisahkan sebab ia adalah darah daging.

“Cuma tujuan NGO ini untuk mengharmonikan lagi supaya apabila terdapat isu-isu berkaitan yang sengaja dipropaganda, kita boleh memberikan suatu pandangan yang mampu meleraikannya,” katanya. – Info X