Search

USNO keluar GRS

April 22, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) mengambil tindakan keluar dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkuatkuasa pada Rabu.

Tindakan itu diumumkan menerusi satu kenyataan bertajuk ‘Salam Terakhir: USNO Ucap Selamat Tinggal GRS’ yang dimuat naik di akaun Facebook parti itu.

Menerusi kenyataan itu, Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dilapor menyatakan secara rasmi peletakan jawatannya sebagai Timbalan Pengerusi GRS dan semua jawatan berkaitan kerajaan ketika bertemu Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS pada Rabu, 21 April 2026.

Kenyataan itu menyebut, keputusan dibuat bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu disahut secara sebulat suara dalam Mesyuarat Ahli Majlis Eksekutif Tertinggi (AMET) USNO pada Khamis, sekali gus keluar daripada gabungan GRS.

“Antara justifikasi awal keputusan USNO ini ialah disebabkan sudah tidak wujudnya keserasian dalam aspek pentadbiran dan dasar kerajaan khususnya selepas Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU-DU) Sabah kali ke-17.

“USNO juga mengambil pendirian untuk kekal sebagai parti politik yang berteraskan perjuangan pribumi lokal Sabah dan akan komited dalam proses semak dan imbang,” kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan yang sama, USNO turut mengucapkan terima kasih kepada Hajiji selaku Pengerusi GRS dan rakan komponen GRS atas kebersamaan sebelum ini.

“USNO berjanji akan terus memperjuangkan aspirasi rakyat yang termarginalisasi,” katanya.

USNO adalah antara parti pengasas GRS bersama-sama Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan BERSATU Sabah selepas berjaya menubuhkan kerajaan pada September 2020 menerusi kerjasama dengan Barisan Nasional (BN).

BERSATU Sabah kemudian digantikan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) selepas semua pemimpinnya yang diketuai Hajiji meninggalkan BERSATU dan mengambil alih Gagasan Rakyat pada awal 2023.

Setelah itu, GRS berkembang menjadi gabungan politik tempatan Sabah sepenuhnya dan turut menerima beberapa lagi parti untuk menyertainya iaitu Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), menjadikan gabungan itu dianggotai lapan parti.

Bagaimanapun, menjelang PRN17 pada November tahun lalu, STAR dan SAPP keluar dari Gabungan itu kerana mahu bertanding atas logo sendiri dan kini USNO yang terbaharu mengikut langkah mereka.

Berikutan itu, GRS kini hanya dianggotai lima parti iaitu Gagasan Rakyat, PBS, PCS, LDP dan PHRS. – Info X