PAPAR: Seawal jam 8 pagi, puluhan wartawan dan jurugambar sudah memenuhi kawasan luar sekolah Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Limauan, di sini, bagi membuat liputan lawatan Mahkamah Koroner berhubung inkues kematian Zara.
Tumpuan wartawan sejak awal pagi lagi terarah kepada sebuah van putih yang membawa barisan peguam mewakili beberapa pihak dalam prosiding berkenaan.
Sekitar jam 12 tengah hari, van berkenaan akhirnya keluar dari perkarangan sekolah, lokasi arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Ketika itu, wartawan yang menunggu sejak awal pagi segera mengejar van terbabit untuk mendapatkan komen daripada peguam.
Namun, van itu hanya bergerak perlahan tanpa berhenti, sekali gus menimbulkan tanda tanya sama ada pihak pembelaan mahu memberikan sebarang kenyataan atau tidak.
Wartawan yang hampa mula berpatah balik ke luar kawasan sekolah, sebelum menerima maklumat mengejutkan, peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang daripada lima tertuduh, turun di bahu jalan kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.
Tidak menunggu lama, kumpulan wartawan bergegas ke arah bahu jalan itu bagi mendapatkan kenyataan eksklusif daripada beliau.
Terdahulu, prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir pagi tadi diadakan di lokasi arwah ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.
Pada prosiding ‘locus in que’, atau di tempat kejadian itu, Koroner, Amir Shah Amir Hassan hadir bersama pegawai pengendali dan pihak berkepentingan bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung insiden kematian arwah Zara.
Prosiding termasuk melakukan simulasi menggunakan patung yang dijatuhkan dari lokasi arwah dipercayai berada sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan. – Info X