Search

Video pergaduhan tular, 14 pelajar ditahan

October 8, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Rakaman video pergaduhan sekumpulan pelajar di sebuah taman permainan yang tular membawa kepada penahanan 14 remaja berusia antara 12 hingga 14 tahun, Selasa lalu.

Kejadian di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, dipercayai bermula akibat perselisihan faham antara dua pelajar sebelum beberapa pelajar lain turut terbabit dalam pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6 petang, Selasa lalu.

Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau kemudian menjalankan siasatan sebelum mengesan dan menahan 14 remaja terbabit pada keesokan harinya.

“Rakaman video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu serta peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.

Menurutnya, seorang daripada remaja yang ditahan adalah warga asing dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, kes utama disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, manakala kes membabitkan remaja warga asing itu turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi menentukan penglibatan dan peranan setiap individu yang ditahan.

“Polis turut mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan individu ditahan serta mendapatkan laporan perubatan mangsa,” katanya.

Beliau berkata, polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau bagi membantu siasatan.

Rosdi mengingatkan tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan sebarang objek sebagai senjata adalah kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.

Katanya, ibu bapa serta penjaga perlu memantau pergaulan dan tingkah laku anak masing-masing, manakala pelajar dinasihatkan supaya tidak terbabit dalam pergaduhan atau provokasi yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.

“Polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang terhadap mana-mana individu yang didapati terbabit.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya. – Info X