Search

Wanita 46 tahun positif dadah di pusat hiburan

May 3, 2026

Info X Reporters

PENAMPANG: Seorang wanita tempatan berusia 46 tahun ditahan selepas didapati positif dadah dalam Ops Pusat Hiburan yang dijalankan di dua premis sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam operasi berkenaan, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang memeriksa seramai 38 individu terdiri daripada pekerja dan pengunjung premis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang wanita tempatan disyaki positif dadah sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

“Suspek ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana kesalahan menggunakan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Operasi itu diketuai Ketua BSJND Penampang, Asisten Superintendan (ASP) Bakar Jasa dengan tumpuan ke atas aktiviti penyalahgunaan dadah di pusat hiburan sekitar daerah berkenaan.

Menurutnya, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras penyalahgunaan dadah selain memastikan semua premis hiburan mematuhi undang-undang ditetapkan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai, khususnya golongan belia, agar tidak terjebak dengan gejala dadah kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesihatan dan masa depan, malah boleh berdepan tindakan undang-undang. – Info X