KOTA KINABALU: seramai 20 orang wanita daripada kumpulan pendapatan B40 di Kota Marudu dan Kudat kini mampu menjana pendapatan tambahan hasil daripada penyertaan dalam program pembangunan kapasiti anjuran Hibiscus Petroleum Berhad, dengan kerjasama Sedcovest Holdings Sdn Bhd.
Program selama setahun yang bertujuan untuk memperkasakan wanita luar bandar melalui latihan kemahiran menjahit dan keusahawanan itu telah melabuhkan tirainya hari ini dalam satu majlis penutupan di Kota Marudu.
Timbalan Setiausaha Tetap II Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Moira David, yang turut merasmikan penutupan program itu, berkata inisiatif tersebut selaras dengan agenda Kerajaan Negeri Sabah bagi memperkukuhkan ekonomi rakyat dan memperkasakan wanita luar bandar.
Program ini amat bermakna kerana ia selari dengan agenda kerajaan untuk memperkukuh ekonomi rakyat dan memperkasakan wanita B40. Komitmen kami jelas iaitu untuk memastikan pembangunan modal insan yang berkualiti dan menjadikan kemahiran ini sebagai sumber pendapatan berterusan,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Hibiscus Petroleum dan Sedcovest Holdings atas sumbangan mereka dalam membantu komuniti tempatan.
Sementara itu, Ketua Aset Operasi Sabah Hibiscus, Edmund Ang, berkata syarikat itu komited melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya melalui program yang memberi impak positif kepada masyarakat.
“Kesemua 20 peserta berjaya menamatkan latihan dan kini telah mula menjana pendapatan melalui kemahiran menjahit yang diperoleh. Produk mereka termasuk kemeja, pakaian korporat dan pakaian tradisional,” katanya sambil mengucapkan tahniah kepada peserta atas kejayaan mereka.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar Sedcovest Holdings, Abdul Rahim Md Zain, dan Eksekutif Kanan Perhubungan Komuniti & Kerajaan Hibiscus, Durie Rainer Fong.
Hibiscus Petroleum merupakan syarikat penerokaan dan pengeluaran minyak dan gas bebas pertama yang disenaraikan di Malaysia, beribu pejabat di Kuala Lumpur dengan operasi di Malaysia, Vietnam, Brunei, Asia Pasifik dan United Kingdom. – Info X