KOTA KINABALU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini terhadap pertuduhan menipu seorang kenalannya berhubung urusan pembelian minuman keras bernilai RM21,370 di Putatan dua tahun lalu.
Tertuduh, Eu Siew Fung, 44, membuat pengakuan terbabit sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menipu mangsa antara 9 hingga 10 Januari 2023 di sebuah pejabat di Putatan dengan memperdayakannya untuk membeli pelbagai jenama minuman keras sebelum mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM21,370 ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Mangsa bersetuju membuat pembelian selepas dihubungi tertuduh pada 8 Januari 2023 sekitar jam 2 petang kerana pernah berurusan dengannya sebelum ini dan mengetahui tertuduh mempunyai kedai menjual minuman keras di Labuan.
Mangsa kemudian membuat dua pindahan wang pada 9 Januari 2023, masing-masing berjumlah RM13,700 dan RM7,650 ke akaun Agrobank atas nama Eu Siew Fung.
Selepas transaksi dilakukan, tertuduh didakwa memberi pelbagai alasan apabila dihubungi dan akhirnya gagal dihubungi, menyebabkan mangsa membuat laporan polis.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Arfa Anchal Khan Muhammad Munir Khan dan Pegawai penyiasat kes Inspektor Yussof Mohd Ali.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua orang penjamin dan sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Disember depan. – Info X