Search

Wanita disyaki serang wanita lain diberkas

June 10, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita diberkas polis selepas disyaki menyerang dan mengugut seorang wanita lain dalam kejadian yang berpunca daripada isu peribadi di Merotai Besar, dekat sini, semalam.

Suspek berusia 20 tahun itu ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai kira-kira jam 11.50 malam hasil tindakan pantas polis selepas menerima laporan daripada mangsa beberapa jam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 2 petang ketika mangsa yang berusia 19 tahun sedang berehat di rumahnya sebelum didatangi suspek.

“Suspek dipercayai datang untuk berbincang mengenai isu peribadi membabitkan anak saudara mangsa, namun perbincangan bertukar tegang sebelum suspek bertindak agresif.

“Suspek tiba-tiba naik angin lalu mencekik leher mangsa, menumbuk bahu kiri dan mengugut akan mencederakannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jasmin berkata, mangsa yang bimbang dengan keselamatannya membuat laporan polis di Balai Polis Bombalai pada jam 9.25 malam hari yang sama.

Katanya, suspek berjaya diberkas tidak lama kemudian dan kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan menyebabkan kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mengawal emosi ketika berdepan sebarang pertikaian dan tidak bertindak terburu-buru sehingga mencederakan atau mengugut individu lain.

“Tindakan sedemikian bukan saja boleh membahayakan keselamatan orang lain, malah membawa kepada tindakan undang-undang yang serius.

“Orang ramai digesa untuk melaporkan sebarang insiden kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya. – Info X