Search

Wanita hamil antara ditahan dalam serbuan pusat hiburan

March 9, 2026

Info X Reporters

TAWAU: Seorang wanita warga asing yang disahkan hamil antara yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam serbuan di tiga pusat hiburan di daerah ini, awal pagi semalam.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 5 pagi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah memeriksa seramai 42 individu di tiga premis hiburan sekitar bandar Tawau.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, daripada jumlah itu seorang wanita warga asing berusia 25 tahun ditahan selepas ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Menurutnya, wanita terbabit ditahan dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Fajar Kompleks kira-kira jam 1 pagi.

Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil.

“Hasil ujian saringan awal mendapati wanita terbabit positif dadah sebelum dia ditahan untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal juga mendapati suspek mengaku mengambil pil ekstasi di rumah rakannya di Taman Pasadena kira-kira tiga hari sebelum serbuan dilakukan,” katanya ketika dihubungi, malam ini.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati wanita terbabit juga sedang mengandung.

Menurut Alhusin, serbuan yang dijalankan turut membabitkan dua lagi premis hiburan di kawasan Kubota Central.

Katanya, seramai 15 individu diperiksa di premis kedua dan 13 individu di premis ketiga, namun semua mereka didapati negatif dadah.

“Secara keseluruhan seramai 42 individu diperiksa dan seorang ditahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan risikan dan pemantauan berterusan bagi memastikan premis hiburan tidak dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah.

“JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi dan penguatkuasaan bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negeri ini,” katanya. – Info X

tamat