Search

Wanita lalok ditahan bersama tiga lelaki positif dadah

January 9, 2024

Info X Reporters

TENOM: Seorang wanita yang sedang khayal dadah ditahan bersama tiga lelaki di bilik sebuah hotel di pekan daerah ini, semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi itu, semua warga tempatan berusia 24 hingga 36 tahun berkenaan dipercayai menyewa hotel berkenaan untuk melepaskan ‘gian’ dadah.

Malah ketika ditahan, semua individu berkenaan disahkan positif dadah namun hanya wanita berkenaan tidak sedarkan diri dipercayai akibat terlalu ‘lalok’ dadah.

Ketua Polis Daerah Tenom, Deputi Superitenden Hasan Majid berkata, serbuan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom berdasarkan maklumat awam.

Katanya, sebaik serbuan dilakukan, tiga suspek lelaki cuba melarikan diri namun berjaya diberkas bersama dadah disyaki jenis syabu dan peralatan menagih dadah.

“Ketika serbuan dijalankan di bilik hotel berkenaan, pasukan operasi menemui seorang wanita dalam keadaan khayal bersama tiga lagi individu lelaki.

“Pemeriksaan lanjut di dalam bilik berkenaan berjaya menemukan sejumlah dadah serta alat-alat yang disyaki digunakan untuk menagih dadah,”katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Peralatan yang digunakan menagih dadah turut dirampas. – Foto/PDRM

Hasan berkata, semua suspek terus ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan namun bukan berasal dari daerah Tenom.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sehubungan itu, Hasan berkata, pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang.

Katanya, pihaknya juga mengalu-alukan masyarakat agar membantu menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti jenayah di daerah ini menerusi talian 087-736211. – Info X