SANDAKAN: Seorang wanita maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya kemalangan dengan sebuah lori tangki minyak di Jalan Batu 18, di sini, hari ini.
Mangsa Same Hebo yang berusia 50-an tersepit di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Severinus Sainkui@Nizam berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan pada 9.21 pagi, sepasukan pegawai dan anggota bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan lori tangki minyak bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.
“Terdapat seorang mangsa wanita tersepit di Toyota Hilux dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Pemandu lori tangki minyak berusia 40 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Operasi tamat pada 10.26 pagi. – Info X