LAHAD DATU: Seorang wanita maut selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan dengan tiga kenderaan di Jalan Tengah Nipah, di sini, hari ini.
Mangsa, Hayati Samawi, 56, yang menaiki Perodua Myvi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.34 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Toyota Hilux dan sebuah lori 10 tan.
“Terdapat lima mangsa terbabit iaitu seorang penumpang Perodua Myvi disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pemandu Myvi berusia 69 tahun mengalami cedera ringan diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya.
Jelas beliau, pemandu dan penumpang Toyota Hilux berusia 60 dan 62 tahun serta pemandu lori berusia 24 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Selepas memastikan tidak ada bahaya lain yang wujud di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang,” katanya. – Info X